May 25, 2008

Pertingkat pendidikan kesihatan – SULTAN PERAK

CEMAR DULI: Sultan Azlan Shah diiringi (dari kiri) Mohd Nizar dan Tiong Lai ketika berangkat ke majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping, di Taiping


TAIPING: Pendekatan lebih berkesan dan strategik mesti dilaksanakan bagi mengelak negara menghadapi tanggungan kewangan yang berat bagi membiayai kos kesihatan dan perubatan rakyat negara ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah perbelanjaan kesihatan dan perubatan yang semakin tinggi akan mengikat dan menghalang sumber kewangan negara daripada digunakan untuk perkara serta urusan lain yang lebih produktif.

Titah baginda, antara pendekatan yang perlu ditingkatkan ialah pencegahan melalui pendidikan berkesan.

"Pelajar perlu disemai dengan gaya hidup sihat dari segi pemakanan seimbang, mengamalkan riadah harian, cukup waktu istirahat dan tidur, tidak merokok dan menghindarkan diri daripada mengambil alkohol secara keterlaluan. Negara juga mungkin perlu memperkenal skim rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih saksama supaya belanja kesihatan dan perubatan negara benar-benar diberikan kepada warga yang miskin dan berpendapatan rendah," titah baginda pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Klinik Kesihatan Taiping mula dibina pada Februari 2006 dengan kos RM14.39 juta dan beroperasi sejak awal tahun ini.

Sultan Azlan bertitah, tidak wajar meletakkan tanggungjawab kesihatan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan kerana agensi lain dan pihak swasta juga mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Titah baginda, tindakan tegas perlu diambil terhadap kegiatan yang membawa pencemaran dan merosakkan alam sekitar.

"Syarat kelulusan untuk kegiatan ekonomi harus diperketat supaya tidak menimbulkan gangguan kesihatan. Badan penguat kuasa tidak harus berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang demi memastikan suasana kerja yang sihat dan selamat dapat dijamin," titah baginda.

Sementara itu, ketika berucap Liow berkata, pendekatan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit adalah strategi paling menjimatkan dalam menentukan kesihatan diri, keselamatan serta kesejahteraan alam sekitar.

Katanya, pelbagai program promosi kesihatan dan pencegahan penyakit oleh Kementerian Kesihatan yang juga teras kepada perkhidmatan kesihatan awam diperluas secara lebih menyeluruh dengan pembabitan seluruh masyarakat.

"Saya yakin, pelaburan kita dalam kesihatan akan membuahkan hasil jangka panjang dengan penurunan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, pengurangan komplikasi penyakit seterusnya kepada peningkatan kualiti hidup.

"Pencapaian ini sekali gus membolehkan kita mengawal kos rawatan perubatan yang semakin meningkat," katanya.

No comments: