Jul 10, 2008

KEPENTINGAN PELAJAR BUMIPUTERA DIAMBIL KIRA

Kerajaan telah mengambil kira kepentingan pelajar bumiputera secara menyeluruh sebelum meningkatkan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan bumiputera.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berkata, kerisauan masyarakat bumiputera mengenai perkara itu mungkin berpunca daripada anggapan bahawa JPA adalah penyedia tunggal biasiswa untuk pelajar bumiputera.

Menurutnya, masih terdapat beberapa institusi lain yang turut memberikan biasiswa kepada pelajar bumiputera.

"Usah terlalu risau kerana kepentingan pelajar bumiputera telah diambil kira oleh kerajaan secara menyeluruh. Penajaan pelajar bumiputera bukan sahaja daripada JPA, institusi-institusi lain turut menyediakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kuota baru biasiswa JPA yang menyaksikan nisbah biasiswa untuk pelajar bumiputera berkurangan secara mendadak kepada 55 bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera berbanding nisbah 90:10 sebelum ini.

Bantahan itu timbul ekoran kenyataan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat Isnin lalu yang mempersoalkan tindakan JPA yang mengambil kuota biasiswa pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurut Khairy, nisbah pemberian biasiswa kerajaan untuk pelajar bumiputera dan bukan bumiputera adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Seri Paduka mempunyai budi bicara untuk menentukan nisbahnya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, jumlah penawaran biasiswa JPA sebanyak 2,000 setahun juga tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan biasiswa yang disediakan institusi lain. Namun, beliau menegaskan adalah tidak wajar baginya untuk mendedahkan nilai keseluruhan biasiswa itu.