Jul 10, 2008

KEPENTINGAN PELAJAR BUMIPUTERA DIAMBIL KIRA

Kerajaan telah mengambil kira kepentingan pelajar bumiputera secara menyeluruh sebelum meningkatkan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan bumiputera.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berkata, kerisauan masyarakat bumiputera mengenai perkara itu mungkin berpunca daripada anggapan bahawa JPA adalah penyedia tunggal biasiswa untuk pelajar bumiputera.

Menurutnya, masih terdapat beberapa institusi lain yang turut memberikan biasiswa kepada pelajar bumiputera.

"Usah terlalu risau kerana kepentingan pelajar bumiputera telah diambil kira oleh kerajaan secara menyeluruh. Penajaan pelajar bumiputera bukan sahaja daripada JPA, institusi-institusi lain turut menyediakannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kuota baru biasiswa JPA yang menyaksikan nisbah biasiswa untuk pelajar bumiputera berkurangan secara mendadak kepada 55 bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera berbanding nisbah 90:10 sebelum ini.

Bantahan itu timbul ekoran kenyataan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat Isnin lalu yang mempersoalkan tindakan JPA yang mengambil kuota biasiswa pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurut Khairy, nisbah pemberian biasiswa kerajaan untuk pelajar bumiputera dan bukan bumiputera adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Seri Paduka mempunyai budi bicara untuk menentukan nisbahnya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, jumlah penawaran biasiswa JPA sebanyak 2,000 setahun juga tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan biasiswa yang disediakan institusi lain. Namun, beliau menegaskan adalah tidak wajar baginya untuk mendedahkan nilai keseluruhan biasiswa itu.

Jun 8, 2008

PERBESAR RUMAH IBADAT BUKAN MELAYU- Ambil kiralah sensitiviti umat Islam

CADANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR UNTUK MENAMBAHKAN PERUNTUKAN BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM DAN MENGGUGURKAN SYARAT HAD KELUASAN BANGUNAN; PERLU MENGAMBIL KIRA SENSITIVITI UMAT ISLAM DAN KAJIAN TERPERINCI

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Bin Mohd Munir berkata, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan akhbar (The Star m/s N18 dan Akhbar Sinar Harian, Sabtu 8 Jun 2008) yang melaporkan kenyataan YB Dr. Xavier Jayakumar dan YB Ronnie Liu berkenaan cadangan yang akan diusulkan untuk menghapuskan syarat had keluasan rumah ibadat bukan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang PBT.

Selain itu turut dilaporkan ialah cadangan penambahan peruntukan dan jumlah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa tidak mencukupi. ABIM menegaskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira faktor kewujudan terlalu banyak rumah-rumah ibadat yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh kerana rumah-rumah ibadat ini dibina di atas tanah-tanah yang bernilai komersial tinggi, masalah perobohan akan timbul apabila tanah-tanah tersebut ingin dibangunkan. Untuk mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat baru yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran PBT.

2. Sebarang perubahan syarat pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat terutamanya komuniti Islam. Komposisi penduduk sesuatu kawasan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian. Jawatankuasa Penduduk/ Persatuan Penduduk dan NGO-NGO Islam khususnya perlu dibawa berunding terlebih dahulu sekiranya pembinaan rumah ibadat bukan Islam melibatkan kawasan berpenduduk majoriti Islam.

3. Akhir-akhir ini wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam atas alasan masyarakat Islam di negara ini menerima peruntukan yang besar untuk membina masjid dan surau. ABIM menegaskan bahawa umat Islam mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat 5 kali sehari dan solat Jumaat secara berjamaah. Selain itu peruntukan besar kepada masjid dan surau diperolehi melalui konsep zakat yang wujud dalam Islam dan hak-hak yang jelas diperuntukan oleh perlembagaan. Kebanyakan surau juga dibina hasil daripada pungutan derma ahli-ahli kariah dan bukannya peruntukan kerajaan. Kajian yang dilakukan oleh ABIM bersama beberapa pihak pada akhir tahun 2007 mendapati bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang adalah jauh melebihi jumlah masjid dan surau. Pandangan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi jumlah rumah-rumah ibadat bukan Islam adalah tidak benar.

4. ABIM juga menegaskan bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat perlu mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain berhubung dengan status Islam yang perlu diberi keutamaan. Namun demikian hal ini tidak menafikan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam terhadap rumah-rumah ibadat.


Oleh yang demikian sebelum sebarang perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang PBT haruslah dijalankan melalui kajian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

ABIM dalam hal ini tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan semangat toleransi antara kaum, namun sewajarnya sebarang tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip-prinsip perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak-hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.

Kenaikan Harga Minyak Membebankan Rakyat: ABIM Tuntut 7 langkah segera diambil

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa keputusan kerajaan untuk menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel RM 1.00 sehingga menjadikan harga seliter minyak meningkat. Sememangnya pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat. Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, kenaikan harga minyak ini akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang-barang keperluan, yang pastinya membebankan terutama sekali di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah.

Mereka yang tinggal di bandar-bandar merupakan entiti masyarakat yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup tinggi di bandar yang segalanya bergantung kepada kuasa beli bagi mendapatkan sesuatu barang berbanding di kampung setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

”Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global namun demikian ABIM beranggapan bahawa tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi jumlah kenaikannya, memandangkan kenaikan ini secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kenaikan ini juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bahkan ABIM juga berpendapat kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara. Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya.

Menyedari implikasi yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ke atas rakyat dalam pelbagai bentuk, ABIM menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

1. Memohon agar kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan parioriti. ABIM berpandangan pembangunan bukan nilainya pada tumbuhnya bangunan pencakar langit yang hanya bersifat "material" tetapi pembangunan sebenar ialah pembangunan "insani" yang bersifat membangunkan kebajikan rakyat. Insentif yang dikemukakan amat baik tetapi tidak dapat banyak membantu rakyat kerana kesan kenaikan tersebut mempunyai impak besar terhadap keseluruhan ekonomi negara terutama kenaikan caj perkhidmatan dan harga.

2. Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Cara kita mengurus ekonomi juga harus dikaji semua dan hendaklah lebih mengutamakan kebajikan rakyat sepertimana yang telah digariskan dalam Islam berhubung dengan konsep kenegaraan.

3. Seruan mengamalkan budaya belanja berhemah perlu dimulakan diperingkat kepimpinan negara bermula dengan mengurus kos operasi pentadbiran secara berhemah kerana kadang-kala wujud situasi perbelanjaan secara berlebihan seperti pembelian kereta kerajaan dengan kereta import luar negara. Selain itu majlis-majlis dan program-program besar-besaran yang bersifat "ceremonial" semata-mata menelan belanja berjuta-juta ringgit perlu dielakkan. ABIM menyeru agar pemimpin-pemimpin, jabatan-jabatan, serta agensi-agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat dicontohi serta diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak termasuk kerajaan negeri.

4. Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan sebarang pembaziran yang tidak perlu, dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Unsur-unsur rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak wajar diperangi habis-habisan.

5. Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

6. Memantau harga barang-barang keperluan yang masih menerima subsidi daripada kerajaan, agar tidak ada golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran daripada kenaikan harga minyak.

7. Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.

May 25, 2008

Pertingkat pendidikan kesihatan – SULTAN PERAK

CEMAR DULI: Sultan Azlan Shah diiringi (dari kiri) Mohd Nizar dan Tiong Lai ketika berangkat ke majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping, di Taiping


TAIPING: Pendekatan lebih berkesan dan strategik mesti dilaksanakan bagi mengelak negara menghadapi tanggungan kewangan yang berat bagi membiayai kos kesihatan dan perubatan rakyat negara ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah perbelanjaan kesihatan dan perubatan yang semakin tinggi akan mengikat dan menghalang sumber kewangan negara daripada digunakan untuk perkara serta urusan lain yang lebih produktif.

Titah baginda, antara pendekatan yang perlu ditingkatkan ialah pencegahan melalui pendidikan berkesan.

"Pelajar perlu disemai dengan gaya hidup sihat dari segi pemakanan seimbang, mengamalkan riadah harian, cukup waktu istirahat dan tidur, tidak merokok dan menghindarkan diri daripada mengambil alkohol secara keterlaluan. Negara juga mungkin perlu memperkenal skim rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih saksama supaya belanja kesihatan dan perubatan negara benar-benar diberikan kepada warga yang miskin dan berpendapatan rendah," titah baginda pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Taiping di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Klinik Kesihatan Taiping mula dibina pada Februari 2006 dengan kos RM14.39 juta dan beroperasi sejak awal tahun ini.

Sultan Azlan bertitah, tidak wajar meletakkan tanggungjawab kesihatan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan kerana agensi lain dan pihak swasta juga mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Titah baginda, tindakan tegas perlu diambil terhadap kegiatan yang membawa pencemaran dan merosakkan alam sekitar.

"Syarat kelulusan untuk kegiatan ekonomi harus diperketat supaya tidak menimbulkan gangguan kesihatan. Badan penguat kuasa tidak harus berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang demi memastikan suasana kerja yang sihat dan selamat dapat dijamin," titah baginda.

Sementara itu, ketika berucap Liow berkata, pendekatan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit adalah strategi paling menjimatkan dalam menentukan kesihatan diri, keselamatan serta kesejahteraan alam sekitar.

Katanya, pelbagai program promosi kesihatan dan pencegahan penyakit oleh Kementerian Kesihatan yang juga teras kepada perkhidmatan kesihatan awam diperluas secara lebih menyeluruh dengan pembabitan seluruh masyarakat.

"Saya yakin, pelaburan kita dalam kesihatan akan membuahkan hasil jangka panjang dengan penurunan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, pengurangan komplikasi penyakit seterusnya kepada peningkatan kualiti hidup.

"Pencapaian ini sekali gus membolehkan kita mengawal kos rawatan perubatan yang semakin meningkat," katanya.

May 22, 2008

Kembalikan Kekuatan Orang MELAYU 62 Tahun Yang Lalu

Orang Melayu hari ini berada di persimpangan dan di dalam satu dilemma yang amat menakutkan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis.

Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia?

Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan jadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa?

Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan mengigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak perduli terhadap Melayu lagi?

Pada 11 Mei, 62 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di negara ini.

Pada ketika itu ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu.

Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden.

Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja.

Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara.
Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu serta budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Yang menyedihkan apabila selepas 62 tahun ia ditubuhkan dan setelah 51 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi terutamanya oleh golongan muda Melayu.

Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan.

Ianya dapat dilihat dengan jelas didalam keputusan PRU ke – 12 yang lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?

Namun sejak akhir-akhir ini apabila terdapat bibit-bibit perpecahan di antara orang Melayu, sudah ada yang berani mengambil kesempatan. Terbaru apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mengambil tindakan mempersoalkan siapa penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Sultan Perak ada kaitan dengan kelemahan pada parti Melayu itu.

Ia seolah-olah mengulangi senario pada 1946 apabila Inggeris merampas kuasa raja-raja dan hak Melayu dengan membentuk Malayan Union. Orang Melayu dan UMNO sepatutnya bangkit membantah dan mendesak supaya Karpal Singh menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kapada Sultan dan Raja-raja Melayu.

Yang menjadi persoalan sekarang mengapa para pemimpin Pas dan PKR diam membisu. Sikap berdiam diri para pemimpin Pas berhubung isu Karpal mengkritik sultan juga menunjukkan pendirian mereka yang tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu.

Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Adakah nasib Melayu boleh diletakkan di bahu mereka yang mana kalau dilihat daripada peratus pemimpin Melayu mereka tak sampai separuh? Berapa ramai anggota IFC (Interfaith Commission) terdiri daripada pemimpin PKR?

IFC ditubukan dengan matlamat meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam. Adakah orang-orang Melayu Islam di dalam PKR tahu dan sedar akan perkara ini wujud di dalam PKR. Bolehkan PKR mengambil alih peranan UMNO untuk membela nasib orang Melayu?

Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran sebarang kenyataan rasmi daripada pemimpin parti terbabit yang seolah-olah merestui tindakan tersebut. Adakah disebabkan DAP adalah ahli keluarga Pakatan Rakyat, maka adalah lebih baik bagi mereka mengambil pendirian berkecuali.

Adakah mereka sanggup melihat Raja-Raja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan hanya menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka barulah mereka bertindak sesuatu.
Adakah untuk menjaga hati DAP mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri. Sepertimana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP.

Yang paling ketara adalah Pas apabila sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihanraya yang lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu.

DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada PRU-12 yang lepas. Dan apabila melihat Islam ditindas oleh barat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan melihat orang Melayu Islam sedang berpecah dan kerajaan semakin lemah, ada pula dari pihak Gereja mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan untuk menggunakan perkataan Allah di dalam bulletin mereka.

Jelas dapat dilihat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan apabila Islam berjaya dilemahkan. Terbaru apabila pihak Gereja Katolik Malaysia berjaya di dalam tuntutan mereka apabila mahkamah membenarkan mereka untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.

Hakim juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kapada agama Islam.
Bayangkan sejak kita lahir kita diajar menyebut dan mengenali Allah Taala dengan lebih dekat, tiba-tiba ada pula agama lain mahu menggunakan nama yang sama dengan Agama Islam.

Walaupun mereka mengatakan pihak Kristian di arab menggunakan nama Allah, tetapi itu di Arab dan bukannya di Malaysia. Tak ke janggal namanya. Tidak ke pihak gereja katolik tahu yang Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Tidak ke tuntutan mereka mengguris perasaan umat Islam di Malaysia. Mengapa sekarang mereka membuat tuntutan itu? Mengapa umat Islam Malaysia berdiam diri apabila Islam dihina sedemikian rupa dengan mempermain-mainkan nama Tuhan yang maha esa. Di manakah anda pejuang-pejuang Islam tidak kira dari parti politik mana pun. Tidak kira apapun tuntutan mereka sama ada IFC ataupun pihak gereja katolik demi memastikan kedaulatan Islam itu utuh ditanah air kita, sama-samalah kita bersatu menentang apa jua bentuk penindasan terhadap Agama Islam yang maha mulia ini.

Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu yang beragama Islam untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.

Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.

Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita mempastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca.

Untuk tidak kehilangan arah, dan supaya tidak kehilangan punca, makanya perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa "hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah".

May 21, 2008

BENARKAH PERUBAHAN PAS YANG MELETAKKAN KEMENANGAN PAKATAN ALTERNARIF DALAM PRU-12?

Sepanjang dua fasa pemerintahan Pas – 1959 hingga 1978 dan 1990 hingga sekarang, Pas hanya bergerak pada landasan mengkhayalkan rakyat dengan slogan-slogan dan retorik yang memperalatkan agama Islam dan ditegakkan menerusi politik perpecahan di kalangan rakyat.

Pas menggunakan sehabis-habisnya label Islam pada parti mereka untuk menarik sokongan rakyat terutama orang Melayu. Kemuncak dari keghairahan Pas memancing sokongan orang Melayu ialah apabila keluarnya fatwa Hj Hadi Awang di Banggol Peradong pada tahun 1981 yang menyebabkan sesetengah ahli dan pengikut Pas mengkafirkan ahli UMNO.

Sehingga pilihanraya umum 2004 Pas terus menggunakan retorik Islam untuk memancing undi khususnya perjuangan untuk menegakkan Negara Islam mengikut acuan mereka.

Walaupun bermula pada pilihan raya 1999 Pas cuba berbaik-baik dengan DAP untuk memancing sokongan kaum bukan Melayu namun teras perjuangannya iaitu menubuhkan negara Islam masih terus lantang disuarakan. Kesannya DAP kalah teruk di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu sebaliknya Pas hanya menang di kawasan yang majoriti pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar.

Sebenarnya sejak pilihanraya 1999 Pas semakin sedar hakikat bahawa untuk menang pilihanraya parti itu tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan kaum bukan Melayu sahaja. Pas juga sedar parti itu tidak boleh dilihat ortodoks tetapi mesti lebih moden dan liberal bagi menarik sokongan pengundi muda yang rata-ratanya adalah golongan terpelajar.

Perkara ini disedari pemimpin muda dalam Pas itu sendiri yang tidak mahu Pas terus berada di bawah kepompong imej ulama semata-mata. Rentetan itu terdapat usaha pemimpin dan golongan muda dalam Pas yang cuba mengubah wajah Pas. Usaha golongan muda ini sebenarnya sukar dilakukan kerana masih terdapat pemimpin-pemimpin lama yang konservatif yang masih berpengaruh dalam Pas.

Namun sejak menerima tamparan hebat pada pilihanraya umum 2004 di mana Pas kehilangan Terengganu dan hampir jatuh di Kelantan wujud ombak besar di kalangan ahli dan penyokong Pas yang mahukan Pas berubah wajah.

Hasilnya pemimpin-pemimpin muda yang berlatarbelakangkan professional seperti Hussam Musa, Nasharuddin Mat Isa, Salahuddin Ayob, Takiyuddin Hassan, Nik Amar telah mendapat sokongan ahli untuk jawatan tertinggi Pas.

Pas sedar parti itu bukan sahaja perlu berubah wajah dari suduh kepimpinan sahaja malah dasar-dasar tertentu yang diamalkan parti itu antaranya, dengan menjalinkan kerjasama dengan parti politik bukan Melayu seperti DAP dan NGO bukan Melayu seperti Suaram dan sebagainya.

Membuka lebih ruang dan peluang kepada kaum wanita contoh calonkan wanita jadi wakil rakyat (bertambah dari pilihanraya1999, 2004 dan 2008), melantik Penghulu di kalangan kaum wanita pada tahun 2007, melantik wanita dalam Exco kerajaan negeri buat pertama kali pada 2008, menambah calon wanita sebagai senator.

Bermula 1999 Pas sudah mula mencalonkan golongan professional muda seperti doctor, jurutera, peguam sebagai calon pilihanraya. Calon yang ditampilkan tidak mengikut apa jawatan yang dipegang dalam parti (tidak seperti UMNO calon pilihanraya selalunya berdasaran jawatan yang dipegang di peringkat pusat atau bahagian)

Pas juga telah membuka kelab bagi penyokongnya yang bukan beragama Islam. Malah di Johor pada pilihanraya umum 2008 ada seorang calon Pas di kalangan kelab penyokongnya yang beragama Hindu.

Pada pilihanraya 2008 Pas tidak lagi lantang mewar-warkan slogan “Negara Islam” atau “Membangun Bersama Islam” tetapi gunakan slogan “Islam Untuk Semua” dan “Negara Kebajikan”. Pas juga tidak lagi lantang mempromosikan “Hukum Hudud” iaitu perkara yang selalunya menjadi modal ceramah politik mereka.

Halalkan persembahan seni seperti dikir barat, jemput artis buat persembahan seperti konsert Mawi, Maya Karin, Waheeda malah Pas juga turut halalkan permainan snooker dan terbaru berhasrat untuk buka litar bagi “Mat Rempit” berlumba.

May 15, 2008

Hasrat Pembangkang Tubuh Kerajaan Pusat Secara 'Lompat Parti' Tidak Semudah Disangka

Oleh Norhayati Muda

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Sejak beberapa minggu lepas, ada pihak tertentu beranggapan kononnya pembangkang akan berjaya menubuhkan kerajaan pusat, gara-gara kedudukan Barisan Nasional (BN) yang mereka anggap agak goyah di Parlimen, selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Kemungkinan dan ketidakmungkinan terjadinya perkara ini menjadi perbahasan dan perbualan dalam kalangan ahli politik, penganalisis politik, ahli perniagaan dan golongan peringkat akar umbi.

BN menguasai 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen. Ia memperoleh 4.08 juta undi atau 50.6 peratus undi popular.

Berdasarkan perkiraan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, gabungan pembangkang hanya memerlukan penyertaan 30 Anggota Parlimen BN ke dalam pakatan itu bagi membolehkan mereka mencapai apa yang dihajati.

Jika perkara itu terjadi, maka pakatan pembangkang akan dapat menubuhkan kerajaan baru dengan bersandarkan majoriti mudah. Kini, pembangkang mempunyai 82 kerusi di Parlimen.

Anwar dilaporkan berkata bahawa parti yang diterajuinya telah berjaya memujuk beberapa Anggota Parlimen supaya meninggalkan BN.

Bagaimanapun, berdasarkan satu dokumen yang disebarkan oleh pihak tidak dikenali di Parlimen hari ini, peluang pembangkang untuk mencapai apa yang mereka impikan itu tidaklah semudah yang disangka.

Dokumen berkenaan, yang dipercayai ditulis oleh mereka yang amat arif tentang undang-undang dan Perlembagaan, berhujah bahawa bagi mencapai angan-angan mereka itu, barisan pembangkang perlu mengatasi pelbagai halangan dalam bentuk undang-undang, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dokumen itu menyatakan bahawa halangan pertama termaktub dalam Perkara 43(5), yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri.

Tetapi, sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan Dewan Rakyat, maka beliau perlu menunaikan satu daripada beberapa pilihan yang ada.

Pertama ialah mengemukakan peletakan jawatan sepenuhnya oleh kerajaan yang beliau terajui seperti yang termaktub dalam Perkara 43(4) atau menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru, seperti yang terkandung dalam Perkara 40(2)(b).

Jika ini dilakukan, maka Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seseorang, yang menurut pertimbangan baginda, akan mendapat kepercayaan Dewan Rakyat.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa sekiranya Perdana Menteri kalah dalam undi percaya yang diadakan secara mengejut, tetapi berjaya menghimpunkan semula penyokong beliau dan kembali mendapat sokongan majoriti, maka beliau layak dilantik semula bagi menyandang jawatan itu kerana Yang di-Pertuan Agong boleh memberi perkenan baginda kepada seseorang yang baginda yakini paling mampu mendapat kepercayaan Dewan Rakyat.

Satu halangan lagi yang terpaksa dihadapi Pembangkang ialah tindakan memecat Perlimen tidak boleh dibuat, melainkan Dewan Rakyat memecat Perdana Menteri kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri (Perkara 43(5).

Bagi menyokong hujahnya, dokumen itu mengambil sebagai rujukan, kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan lawan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Haji Openg di Sarawak pada 1966, yang mengesahkan bahawa melainkan wujud undi tidak percaya, maka sesuatu pelantikan yang sah, tidak boleh dibatalkan oleh Yang Dipertua Negeri.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan, maka Perdana Menteri sebelumnya akan terus kekal memegang jawatan itu dalam sebuah kerajaan sementara.

Walaupun perkara ini tidak disebut oleh Perlembagaan tetapi ia merupakan suatu konvensyen (amalan) yang diterima secara kukuh di United Kingdom selain di Malaysia dan di semua negara anggota Komanwel, kata dokumen itu.

Dokumen itu juga menyebut bahawa ketidakmampuan sesuatu parti memperoleh majoriti dua pertiga, tidak boleh menghalang Kerajaan Persekutuan daripada menggubal undang-undang atau meluluskan bajet.

"Di UK, kerajaan yang memerintah, mendapat kuasa dengan memperoleh kurang daripada 50 peratus undi popular dan mempunyai asas majoriti di Dewan Rakyat.

Ini bukan kali pertama Perikatan/BN tidak mendapat majoriti dua pertiga. Pada 1969, Perikatan tidak memperoleh lebih 50 peratus undi serta gagal mendapat majoriti dua pertiga. Tun Abdul Razak mentadbir negara ini dari 20 Feb 1971 hinggalah menjelang pilihan raya 1974, hanya dengan mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa dalam kes Nordin Salleh (1994), Mahkamah Agung membuat keputusuan bahawa undang-undang antilompat parti melanggar kebebasan yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c). Nordin, yang ketika itu anggota PAS dan merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Sungai Pinang, menyertai Umno pada 1992.

Kerajaan Negeri Kelantan kemudiannya menggubal undang-undang antilompat parti bagi ahli politik, yang kemudiannya diputuskan oleh Mahkamah Agung sebagai bercanggah dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun, menurut dokumen itu, ada beberapa cara untuk mengatasi keputusan kehakiman ini, satu daripadanya ialah meminda Perkara 10 (2)(c) Perlembagaan Negara bagi menghalang perbuatan melompat parti.

Tetapi, dalam konteks kedudukan politik sekarang, BN yang tidak menguasai majoriti dua prtiga, tidak mungkin mampu membuat pindaan itu.

Satu cara lagi ialah menggunakan Ordinan Darurat mengikut Perkara 150(2B), yang memperuntukkan bahawa seseorang yang dipecat atau keluar daripada parti yang beliau menang atas tiketnya untuk dipilih ke Dewan rakyat, mesti mengosongkan kerusi berkenaan dan kembali mendapatkan mandat daripada pengundi melalui pilihan raya kecil.

Satu cara lagi ialah menggubal undang-undang yang memastikan "pelompat" akan hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun dan perkara ini serupa dengan apa yang terkandung dalam Perkara 48(6) mengenai Anggota Parlimen yang meletak jawatan daripada Dewan Rakyat, kata dokumen itu.

Dokumen itu seterusnya menyebut bahawa Ordinan Darurat merupakan cara penggubalan undang-undang oleh badan eksekutif di luar Parlimen, yang hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia boleh digubal jika memenuhi dua syarat -- wujud keadaan darurat di negara ini dan dua Dewan Parlimen tidak bersidang serentak.

Ordinan ini boleh diterima sebagai "keruntuhan sebuah kerajaan sivil" dan merupakan satu bentuk "darurat" seperti yang diputuskan oleh Majlis Privy dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Kerajaan Malaysia (1968), kata dokumen itu.
-- BERNAMA

KARPAL SINGH JANGAN BERMAIN API

Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sikap Karpal Singh yang masih lagi berdegil dan terus menampilkan sikap kurang ajar untuk mencabar kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Pemuda UMNO cukup bersetuju bahawa pandangan keterlaluan yang diungkap oleh mana-mana pihak sekalipun, termasuk Wakil Rakyat, wajar dan boleh dikenakan Akta Hasutan.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Pirdaus Ismail berkata, Pemuda UMNO merasakan sudah wujud keperluan untuk kita mengawal keceluparan mulut sesetengah pihak dengan undang-undang, sebelum keadaan menjadi lebih mudarat dan merosakkan.

Untuk itu, Pemuda UMNO mendesak Karpal Singh untuk memohon ampun dan maaf secara terbuka kepada Istana Perak. Keceluparan beliau itu sudah melampaui batas, sekaligus membayangkan Wakil Rakyat itu gagal menjadi seorang warganegara yang setia kepada prinsip Rukunegara.

Karpal Singh sepatutnya belajar sejarah bagaimana orang-orang melayu akan berjuang bermati-matian dalam mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu.

”Dari sudut sejarah dan perkembangan pentadbiran dan perundangan turun temurun, sehingga sekarang, orang-orang Melayu menganggap mereka sebagai bangsa yang berhak kepada bumi Tanah Melayu ini, dan dengan sendiri berpegang teguh kepada pendirian Ketuanan Melayu.

Orang Melayu berkait rapat dengan agam Islam. Kerajaan British dahulupun mengiktiraf perkara ini dan agama Islam dan adat resam orang Melayu diletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu,” ujarnya yang juga merupakan bekas Imam Masjid Negara.

Perlembagaan Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama negara. Yang DiPertuan Agong ialah Ketua agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak manakala Sultan bagi tiap-tiap negeri ialah ketua Agama bagi negeri-negeri di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu mestilah terus berada di atas kedudukannya yang cukup istimewa dan tidak diheret ke dalam permainan politik peribadi Karpal Singh. Karpal seharusnyalah cukup faham dengan pengamalan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dan tidak meneruskan agenda peribadi untuk menidakkan peranan institusi penting itu.

Rakyat Malaysia masih lagi menyanjung tinggi kedudukan dan kedaulatan institusi Raja. Kita tidak mahu individu biadab seperti Karpal Singh terus mencemar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menganggu gugat keharmonian hubungan rakyat dan Raja.

Pemuda UMNO ingin memberi amaran supaya tidak bermain api kepada pihak-pihak yang mengamalkan permainan politik seumpama ini, kerana buruk akibatnya jika mereka bermain api. Mereka harus ingat, bahawa keputusan pilihanraya bukanlah lesen untuk mereka mengganggu gugat segala tiang seri yang menjamin keharmonian dan kerjasama antara kaum selama ini.

May 14, 2008

KES SITI FATIMAH: BEBERAPA SUDUT PANDANGAN (ABIM)

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Siti Fatimah adalah sangat penting serta perlu disoroti dengan saksama dari pelbagai sudut agar sikap yang setepatnya dapat diambil terhadap perkembangan terkini berkaitan isu murtad di negara kita.

Sebenarnya kes ini bukanlah kes pertama seumpamanya di Negara kita, seperti yang dinyatakan oleh sesetengah laporan media. ABIM dimaklumkan bahawa memang sudah ada sebelum ini beberapa kes melibatkan saudara baru yang telah memohon dan mendapat kebenaran mahkamah syariah untuk keluar dari agama Islam. Cuma kes-kes lain sebelum ini tidak mendapat liputan meluas. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa adanya kes-kes ini bukan bermakna bahawa kedudukan persoalan ini dalam Negara kita sudah jelas dan seragam. Hakim-hakim Mahkamah Syariah yang memutuskan kes-kes ini telah membuat keputusan berdasarkan fakta kes masing-masing dalam situasi peruntukan undang-undang berkaitan murtad masih belum jelas atau seragam di negeri-negeri. Walaupun negeri-negeri mempunyai bidangkuasa tersendiri dalam hal-ehwal Islam, namun ada keperluan kepada suatu sikap perundangan atau fatwa yang sejelas mungkin dan seragam berkaitan permohonan keluar agama Islam di negara ini. Isu murtad di Malaysia sering menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar Negara dan menjadi alasan sesetengah pihak untuk memberi gambaran negatif terhadap Islam dan umat Islam di Malaysia.

Susulan daripada itu, sudah tiba masanya untuk dicari suatu formula yang disepakati mengenai hukum syarak dan tatacara mengenai murtad atau permohonan keluar dari agama Islam di Malaysia. Ini menuntut suatu proses Ijtihad Kolektif yang melibatkan ahli-ahli fatwa dan pakar-pakar perundangan dalam bidang yang terbabit. Adalah wajar pandangan semua pihak yang berkaitan dan berminat, termasuk yang bukan Islam, turut didengari dan di ambil kira. Akhirnya, memandangkan ini adalah isu hukum-hakam, para ahli fatwalah yang akan merumuskan keputusan terakhir dan cadangan peruntukan undang-undang yang sesuai.

Kes Siti Fatimah ini adalah kesan pelbagai keputusan mahkamah sebelum termasuk keputusan Mahkamah Sivil tertinggi di Malaysia, Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani yang menegaskan bidangkuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam kes-kes murtad dan seumpama dengannya. Justeru itu, kedudukan Mahkamah Syariah sebagai forum terbaik bagi menentukan status agama seseorang yang asalnya beragama Islam tidak patut dipertikaikan lagi. Terlepas dari soal betul-salahnya penghakiman dalam kes Siti Fatimah ini, ia membuktikan bahawa Mahkamah Syariah boleh dan mungkin membuat yang memihak kepada sentimen pihak bukan Islam. Adalah jelas tanggapan bahawa Mahkamah Syariah akan sentiasa berat sebelah terhadap pihak Islam adalah salah dan tersasar.

Dengan latar tersebut, ABIM merasa kesal dengan sikap Majlis Peguam Malaysia melalui naib pengerusinya, Ragunath Kesavan seperti yang dilaporkan oleh media, yang terus-menerus berkeras bahawa kes-kes seumpama ini sepatutnya ditangani oleh Mahkamah Sivil.

Semua pihak haruslah menghormati penghakiman dalam kes tersebut. Sudah tentu ini tidak menutup ruang untuk pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memfailkan rayuan terhadap penghakiman tersebut untuk dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi. Sepintas lalu, nampaknya kedudukan isu tersebut tidaklah begitu mudah. Tidak semestinya faktor bahawa seseorang itu telah tidak mengamalkan amalan-amalan agama Islam wajar menjadi faktor utama penentu status agama seseorang Islam. Walau bagaimanapun ia mungkin sesuai dalam situasi yang melibatkan seseorang saudara baru yang keIslamannya pada asalnya tidak jelas serta boleh dipertikaikan ketulenannya.

Akhirnya, pihak berkuasa agama perlu lebih bersungguh-sungguh dan cekap dalam memelihara kefahaman dan penghayatan agama saudara-saudara baru. Walau apapun latar dan tujuan sebenar seseorang saudara baru itu memeluk Islam, pihak berkuasa agama berada dalam posisi yang strategik dan mempunyai kapasiti untuk menyempurnakan penghayatan Islam mereka. ABIM turut kesal , jikalau benar seperti gambaran yang di sebut dalam penghakiman kes tersebut, bahawa dalam kes ini, pihak berkuasa agama negeri terbabit telah gagal mengambil langkah-langkah yang semaksima mungkin dalam memelihara hal-ehwal keagamaan para saudara baru.

YUSRI MOHAMAD
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)

MELAYU JUARA LAGI......

Melayu juara lagi. Hari ini Harian Metro dengan bangganya menyiarkan berita 4000 PORNO MELAYU di muka hadapan akhbarnya. Apakah tujuan sebenarnya, adakah Metro benar-benar mahu memperjuangkan nasib orang Melayu, di samping mengelakkan masalah-masalah ini akan terhapus di kemudian hari.

Atau mereka sebenarnya nak JUAL PAPER sahaja?

May 12, 2008

RUGINYA BILA MELAYU BERSENGKETA

Aku tertarik dengan tulisan saudara ‘orang-kite’ yang melihat keadaan politik Negara semakin bertambah gawat. Bagi aku, bukan politik Negara, tetapi politik orang MELAYU itu sendiri sedang gawat.

Sikap kebudak-budakan telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang kita cukup segani selama ini. Tidak kelihatan satu usaha pun untuk memulihkan semula keadaan dan semangat. Hasil daripada kekalahan teruk BN dalam PRU 12 yang lepas, semua orang main tunjuk-menunjuk antara satu sama lain. Sebahagian besar ahli-ahli UMNO di akar umbi seakan bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO. Segelintir Pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan pula terus mempertahankan kredibiliti Presiden UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian pula lebih banyak mendiamkan diri dan akan meluahkan pendirian masing-masing apabila tiba masanya nanti. (Orang-Kite; 8 April 2008)

Persoalannya sekarang, adakah dengan meletakkan kesalahan pada PAK LAH dan mempertahankan kewibawaan PAK LAH juga akan memberikan jaminan bahawa orang Melayu hari ini akan kembali kuat. Adakah kedua-dua tindakan tersebut juga boleh menjamin UMNO AKAN KEMBALI BERTAUT DI HATI ORANG MELAYU?

Persoalan ini harus dipandang serius, perlu di cari jalan penyelesaian yang konkrit. Perlu diingatkan bahawa Melayu juga ada dalam PAS dan juga PKR.

Orang MELAYU dalam PAS dan PKR juga mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan orang MELAYU dalam UMNO. Hakikatnya dalam UMNO itu sendiri MELAYU berpecah kepada beberapa puak.....

Oleh itu fikirkanlah. UMNO hari ini perlu melihat pandangan akar umbi juga. Apa sebenarnya yang ahli-ahli UMNO mahukan daripada kepimpinan UMNO hari ini.

Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Jangan sampai kerana politik, orang Melayu akan hilang kuasa di negaranya sendiri. Jangan sampai bila Anwar Ibrahim dah jadi PM, kuasa Melayu dan Islam akan berkubur kerana perjuangan Anwar terlalu kabur untuk mempertahankan KETUANAN MELAYU dan ISLAM sebagai agama rasmi negara, kerana beliau hanya inginkan kuasa.... dengan sokongan DAP dan orang bukan Islam sahajalah dan kuasa barat khususnya dari Israel dan Amerika, Anwar akan jadi PERDANA MENTERI MALAYSIA......

May 11, 2008

Melayu-Today = Melayu Di Persimpangan

Aku orang baru …. Yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dalam UMNO mahupun di pihak pembangkang.

Tujuan aku buka blog nie, sekadar suka-suka bagi menyuarakan pandangan aku sebagai orang muda, sebagai seorang anak merdeka yang mempunyai hak untuk bersuara.

Nak bersuara dalam suratkhabar atau televisyen.... siapa aku. Oleh yang demikian, biarlah aku bersuara di sini.

Niat aku hanya satu.... aku nak terus merdeka di atas muka bumi ini. Kepada abang-abang dan kakak-kakak yang lebih senior dalam bidang penulisan dan kewartawan.... tidak kiralah di akhbar, televisyen mahupun laman web dan blog nie, bagilah aku tunjuk ajar, bagilah aku bimbingan supapa aku boleh menilai kembali pandangan dan penulisan aku untuk kebaikan diriku juga.