Jun 8, 2008

PERBESAR RUMAH IBADAT BUKAN MELAYU- Ambil kiralah sensitiviti umat Islam

CADANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR UNTUK MENAMBAHKAN PERUNTUKAN BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM DAN MENGGUGURKAN SYARAT HAD KELUASAN BANGUNAN; PERLU MENGAMBIL KIRA SENSITIVITI UMAT ISLAM DAN KAJIAN TERPERINCI

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Bin Mohd Munir berkata, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan akhbar (The Star m/s N18 dan Akhbar Sinar Harian, Sabtu 8 Jun 2008) yang melaporkan kenyataan YB Dr. Xavier Jayakumar dan YB Ronnie Liu berkenaan cadangan yang akan diusulkan untuk menghapuskan syarat had keluasan rumah ibadat bukan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang PBT.

Selain itu turut dilaporkan ialah cadangan penambahan peruntukan dan jumlah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa tidak mencukupi. ABIM menegaskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira faktor kewujudan terlalu banyak rumah-rumah ibadat yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh kerana rumah-rumah ibadat ini dibina di atas tanah-tanah yang bernilai komersial tinggi, masalah perobohan akan timbul apabila tanah-tanah tersebut ingin dibangunkan. Untuk mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat baru yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran PBT.

2. Sebarang perubahan syarat pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat terutamanya komuniti Islam. Komposisi penduduk sesuatu kawasan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian. Jawatankuasa Penduduk/ Persatuan Penduduk dan NGO-NGO Islam khususnya perlu dibawa berunding terlebih dahulu sekiranya pembinaan rumah ibadat bukan Islam melibatkan kawasan berpenduduk majoriti Islam.

3. Akhir-akhir ini wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam atas alasan masyarakat Islam di negara ini menerima peruntukan yang besar untuk membina masjid dan surau. ABIM menegaskan bahawa umat Islam mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat 5 kali sehari dan solat Jumaat secara berjamaah. Selain itu peruntukan besar kepada masjid dan surau diperolehi melalui konsep zakat yang wujud dalam Islam dan hak-hak yang jelas diperuntukan oleh perlembagaan. Kebanyakan surau juga dibina hasil daripada pungutan derma ahli-ahli kariah dan bukannya peruntukan kerajaan. Kajian yang dilakukan oleh ABIM bersama beberapa pihak pada akhir tahun 2007 mendapati bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang adalah jauh melebihi jumlah masjid dan surau. Pandangan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi jumlah rumah-rumah ibadat bukan Islam adalah tidak benar.

4. ABIM juga menegaskan bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat perlu mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain berhubung dengan status Islam yang perlu diberi keutamaan. Namun demikian hal ini tidak menafikan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam terhadap rumah-rumah ibadat.


Oleh yang demikian sebelum sebarang perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang PBT haruslah dijalankan melalui kajian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

ABIM dalam hal ini tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan semangat toleransi antara kaum, namun sewajarnya sebarang tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip-prinsip perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak-hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.

Kenaikan Harga Minyak Membebankan Rakyat: ABIM Tuntut 7 langkah segera diambil

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat bahawa keputusan kerajaan untuk menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel RM 1.00 sehingga menjadikan harga seliter minyak meningkat. Sememangnya pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat. Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, kenaikan harga minyak ini akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang-barang keperluan, yang pastinya membebankan terutama sekali di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah.

Mereka yang tinggal di bandar-bandar merupakan entiti masyarakat yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup tinggi di bandar yang segalanya bergantung kepada kuasa beli bagi mendapatkan sesuatu barang berbanding di kampung setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

”Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global namun demikian ABIM beranggapan bahawa tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi jumlah kenaikannya, memandangkan kenaikan ini secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kenaikan ini juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bahkan ABIM juga berpendapat kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara. Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya.

Menyedari implikasi yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ke atas rakyat dalam pelbagai bentuk, ABIM menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

1. Memohon agar kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan parioriti. ABIM berpandangan pembangunan bukan nilainya pada tumbuhnya bangunan pencakar langit yang hanya bersifat "material" tetapi pembangunan sebenar ialah pembangunan "insani" yang bersifat membangunkan kebajikan rakyat. Insentif yang dikemukakan amat baik tetapi tidak dapat banyak membantu rakyat kerana kesan kenaikan tersebut mempunyai impak besar terhadap keseluruhan ekonomi negara terutama kenaikan caj perkhidmatan dan harga.

2. Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Cara kita mengurus ekonomi juga harus dikaji semua dan hendaklah lebih mengutamakan kebajikan rakyat sepertimana yang telah digariskan dalam Islam berhubung dengan konsep kenegaraan.

3. Seruan mengamalkan budaya belanja berhemah perlu dimulakan diperingkat kepimpinan negara bermula dengan mengurus kos operasi pentadbiran secara berhemah kerana kadang-kala wujud situasi perbelanjaan secara berlebihan seperti pembelian kereta kerajaan dengan kereta import luar negara. Selain itu majlis-majlis dan program-program besar-besaran yang bersifat "ceremonial" semata-mata menelan belanja berjuta-juta ringgit perlu dielakkan. ABIM menyeru agar pemimpin-pemimpin, jabatan-jabatan, serta agensi-agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat dicontohi serta diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak termasuk kerajaan negeri.

4. Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan sebarang pembaziran yang tidak perlu, dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Unsur-unsur rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak wajar diperangi habis-habisan.

5. Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

6. Memantau harga barang-barang keperluan yang masih menerima subsidi daripada kerajaan, agar tidak ada golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran daripada kenaikan harga minyak.

7. Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.